Mukah merupakan Bahagian yang Ke-10 di Negeri Sarawak yang diisytiharkan pada 1 Mac 2002. Berikutan daripada pengisytiharaan tersebut, Bahagian Mukah telah semakin pesat membangun. Pembangunan semakin ketara apabila Projek Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE) telah diumumkan oleh Y.A.B Ketua Menteri Sarawak. Dengan wujudnya Projek SCORE, banyak peluang kerja telah terbuka kepada penduduk Bahagian Mukah khususnya dan Rakyat Negeri Sarawak secara amnya.
Bagi memenuhi keperluan tenaga kerja professional, UiTM Sarawak Kampus Mukah telah dibuka dan beroperasi pada Sesi Disember 2002 dengan menjalankan program Pra-Perdagangan (PD003). Pada peringkat awal, UiTM telah menyewa 3 unit rumah kedai untuk menempatkan asrama pelajar, bilik pejabat, bilik kuliah dan perpustakaan. Seramai 62 orang pelajar telah mengikuti sesi yang pertama di UiTM Sarawak Kampus Mukah.
Bermula 1 Oktober 2007, 14 buah rumah kedai telah disewa oleh UiTM Sarawak Kampus Mukah di Jalan Boulevard untuk menampung bilangan pelajar yang meningkat dan pertambahan 2 program iaitu Diploma Pengajian Perniagaan (BM111) dan Diploma Pengurusan Ladang (AT110) pada pengambilan sesi Julai-November 2008. Walaubagaimanapun, bermula tahun 2012, Program Diploma Pengurusan Ladang (AT110) telah dipindahkan ke Kampus Samarahan untuk sementara waktu berikutan kekangan tempat yang sedia ada untuk menampung jumlah pelajar yang semakin ramai.
Sehingga kini, program yang ditawarkan adalah Pra-Diploma Perdagangan (PD003), Diploma Pengurusan Perniagaan (BM111) dan Pra-Diploma Perdagangan MDAB (PD002) yang mula dilancarkan oleh Naib Canselor UiTM Y. Bhg. Dato' Sri Prof Ir Dr Sahol Hamid Abu Bakar Dr pada 9 April 2011. Pada Masa sekarang, UiTM Sarawak Kampus Mukah mampu memuatkan seramai 250 orang pelajar sahaja sementara menunggu kampus tetap siap dibangunkan dan dijangka siap pada Oktober 2015. Kampus tetap ini dapat menampung sehingga 2000 orang pelajar. Antara program yang ditawarkan adalah seperti Fakulti Sains Gunaan, Fakulti Perladangan & Agroteknologi serta Fakulti Pengurusan Perniagaan. Majlis pecah tanah UiTM Sarawak Kampus Mukah telah dirasmikan oleh TYT Tun, Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud pada 9 April 2011.